NUR YASMIN NADHIRAH BINTI ADAM UNIVERSITI PERTAHANAN NASIONAL MALAYSIA
Isu ketidakpadanan pemilihan kursus pengajian di institusi pengajian tinggi, terutamanya melalui sistem UPUOnline, merupakan cabaran utama yang dihadapi oleh murid Tingkatan 4 dan 5. Pemilihan yang tidak selaras dengan potensi sebenar sering berlaku akibat kekurangan alat bantu yang holistik dan menarik. Kajian ini mengenal pasti jurang dalam pentaksiran psikometrik sedia ada yang bersifat tradisional, statik, dan pelaksanaannya terpisah-pisah. Keadaan ini menyebabkan tahap keterlibatan (engagement) murid menjadi rendah dan data profil yang dihasilkan tidak tepat. Justeru, platform web interaktif NeuroPath+ dibangunkan. Objektif utama projek ini adalah untuk mereka bentuk elemen gamifikasi yang interaktif bagi meningkatkan keterlibatan murid, membangunkan satu platform bersepadu yang menguji aspek Psikometrik, IQ, dan EQ, serta menganalisis data murid untuk menghasilkan saranan kursus yang relevan. Pembangunan platform ini dilaksanakan melalui fasa-fasa teratur, merangkumi perancangan keperluan, reka bentuk antara muka yang diinspirasikan oleh 16Personalities, pembinaan, dan pengujian. Sistem ini menggunakan algoritma pemadanan untuk menganalisis data penilaian dan memadankannya dengan profil individu serta trend keperluan industri semasa. Kesimpulannya, NeuroPath+ berfungsi sebagai alat saringan persediaan yang inovatif, interaktif, dan bersepadu. Platform ini membantu murid membuat keputusan akademik yang lebih termaklum sebelum mengemukakan permohonan rasmi di UPUOnline.