RAMIZAH BINTI SAKUMONING Sultan Idris Education University
PEMBANGUNAN MODUL NYANYIAN BERASASKAN LAGU RAKYAT (NyaNiMu) BAGI KEMAHIRAN SOSIAL
KANAK-KANAK 3 HINGGA 4 TAHUN DI TASKA
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan membangunkan Modul Nyanyian NyaNiMu berasaskan lagu rakyat bagi kemahiran sosial kanak-kanak berumur 3 hingga 4 tahun di TASKA. Penyelidikan ini menggunakan pendekatan Reka Bentuk dan Pembangunan (Design and Development Research – DDR) yang diperkenalkan oleh Richey dan Klein (2007), dan dilaksanakan melalui tiga fasa utama. Fasa I melibatkan analisis keperluan menggunakan soal selidik terhadap pendidik taska, diikuti kajian rintis bagi menilai kesahan dan kebolehpercayaan instrumen. Fasa II merangkumi proses reka bentuk dan pembangunan modul, termasuk analisis literatur, temu bual pakar, dan pengesahan kandungan menggunakan Teknik Fuzzy Delphi. Seramai 15 orang pakar dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak terlibat dalam proses ini, dan hanya item yang memenuhi kriteria defuzzifikasi ≥ 0.5 dan persetujuan ≥ 75% dimasukkan ke dalam modul. Modul yang dibangunkan berasaskan lapan tema lagu rakyat, dan disepadukan dengan enam domain perkembangan awal menurut Kurikulum PERMATA Negara.Fasa III melibatkan penilaian kebolehgunaan oleh 15 orang pendidik taska melalui Teknik Kumpulan Nominal (NGT), soal selidik kebolehgunaan, dan temu bual mendalam dengan tiga pakar sebagai triangulasi data. Dapatan menunjukkan bahawa Modul Nyanyian NyaNiMu mempunyai kandungan yang sesuai, objektif yang jelas, serta keberkesanan tinggi dalam membantu perkembangan sosial kanak-kanak.Secara keseluruhan, kajian ini berjaya menghasilkan modul nyanyian berstruktur yang boleh digunakan oleh pendidik di TASKA untuk meningkatkan kemahiran sosial kanak-kanak awal usia melalui aktiviti yang menyeronokkan dan bermakna berasaskan lagu rakyat.Dapatan menunjukkan para pakar menyatakan kepuasan terhadap kandungan, objektif dan keberkesanan modul dalam membantu membina kemahiran sosial kanak-kanak secara berkesan. Kesimpulannya, kajian ini telah menghasilkan Modul Nyanyian NyaNiMu yang memiliki tahap kebolehgunaan yang tinggi dan berpotensi untuk dimanfaatkan dalam sistem pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia. Modul ini bukan sahaja menyokong proses perkembangan sosial, tetapi turut menyumbang kepada amalan pengajaran yang menyeronokkan dan berkesan berasaskan pendekatan nyanyian.