TR154: DISH DRYER REFRIGERATOR MACHINE

AHMAD ASHRAF MUAZ BIN ABD HALIM Institut Kemahiran Mara Johor Bahru

Projek kami yang bertajuk “Dishes Dryer Refrigerator Machine” merupakan satu inovasi yang menggabungkan dua fungsi utama dalam satu peranti, iaitu proses pengeringan pinggan serta penyejukan atau pembekuan makanan. Mesin ini direka khas bagi meningkatkan kecekapan kerja di dapur, sama ada di rumah, restoran, mahupun di premis makanan berskala besar. Dengan adanya peranti ini, pinggan yang telah dibasuh tidak perlu lagi dilap secara manual, malah boleh digunakan terus setelah dikeringkan secara automatik dan pantas.

Sistem pengeringan dalam mesin ini berfungsi menggunakan haba yang dijana melalui pemeluwap (condenser) dengan suhu sekitar 38°C hingga 39°C. Haba ini mempercepat proses penyejatan air pada permukaan pinggan tanpa merosakkannya.Kaedah ini bukan sahaja mempercepatkan kerja di dapur, malah menjamin kebersihan pinggan kerana ia tidak disentuh secara langsung selepas dibasuh. Bahagian kedua pula ialah penyejat (evaporator) yang berfungsi sebagai peti sejuk untuk menyimpan makanan pada suhu sejuk beku sekitar -17°C, sesuai untuk memastikan bahan mentah, hasil tenusu dan makanan sedia dimakan kekal segar serta tahan lama.

Masalah utama yang mendorong inovasi ini ialah pinggan yang telah dibasuh mengambil masa terlalu lama untuk kering jika hanya diletakkan di rak biasa. Selain itu, tenaga manusia diperlukan untuk mengelap menggunakan tuala, yang berisiko menyebarkan bakteria pada permukaan pinggan.Di samping itu, haba daripadasistem penyejukan lazimnya terbuang begitu sahaja ke udara tanpa dimanfaatkan, manakala aliran udara semula jadi pula terlalu perlahan untuk mengeringkan pinggan dengan berkesan.

Antara kelebihan utama mesin ini ialah keupayaannya memanfaatkan semula haba buangan daripada sistem penyejukan untuk proses pengeringan, sekali gus menjadikannya lebih cekap tenaga dan mesra alam. Reka bentuknya yang kompak membantu menjimatkan ruang di dapur kerana ia menggantikan dua peralatan berasingan.

Secara keseluruhannya, Dishes Dryer Refrigerator Machine adalah inovasi praktikal yang menjimatkan masa, ruang, serta tenaga, dengan potensi besar untuk dikomersialkan dan memberi nilai tambah kepada pengguna.