AMIERA BATRISYIA BINTI ADNAN KOLEJ VOKASIONAL KUALA KANGSAR
Projek ini dijalankan bagi meneroka konsep asas dalam bidang Sains Fizikal, khususnya berkaitan fenomena cuaca ekstrem seperti puting beliung. Puting beliung merupakan satu fenomena alam yang berlaku apabila udara panas dan sejuk bertembung lalu membentuk pusaran angin yang kuat dan merosakkan. Melalui eksperimen ini murid diperkenalkan kepada prinsip pergerakan udara, tekanan serta tenaga kinetik dan haba dalam pembentukan puting beliung. Tujuan utama projek ini adalah untuk meningkatkan kefahaman kanak-kanak terhadap sains secara praktikal dan menyeronokkan. Aktiviti ini juga bertujuan membina kemahiran berfikir, kreativiti dan kerjasama kumpulan dalam kalangan murid. Semasa projek dijalankan kami menghadapi beberapa kekangan. Ais kering yang digunakan cepat cair dan tidak dapat menghasilkan kesan wap yang lama menyebabkan demonstrasikan tidak dapat dijalankan dalam tempoh yang panjang. Selain itu, kipas yang digunakan terlalu berat dan tidak cukup laju untuk menghasilkan pusaran angin yang jelas. Kekangan ini menyukarkan penerangan kepada kanak-kanak dan memerlukan penambahbaikan untuk masa akan datang. Projek ini disasarkan kepada kanak-kanak prasekolah dan awal sekolah rendah serta guru-guru pendidikan awal kanak-kanak. Ia diharap dapat menjadi alat bantu visual yang efektif dalam pengajaran topik berkaitan cuaca dan bencana alam selaras dengan pendekatan pembelajaran berasaskan projek dan tunjang Sains dan Teknologi dalam kurikulum pendidikan awal.