TR71: DoaSonic : Transformasi Stiker Doa Kepada Peranti Interaktif Berasaskan Pengawal Mikro ESP32 Dan Android Studio

NIK NUR AINA NAFISYA BINTI NIK WEL Kolej Vokasional Bachok

Transformasi Stiker Doa kepada Peranti Interaktif Berasaskan Pengawal Mikro ESP32 dan Android Studio atau secara ringkasnya dikenali sebagai DoaSonic, merupakan satu inovasi berasaskan teknologi pengawal mikro yang telah dibangunkan khusus bagi menyokong amalan kerohanian dalam kalangan pengguna, khususnya pelajar. Doa merupakan amalan harian penting dalam kehidupan masyarakat Islam yang seharusnya diamalkan dalam pelbagai situasi seperti sebelum belajar, sebelum memasuki tandas dan semasa menaiki kenderaan. Namun begitu, realiti sekarang, menunjukkan bahawa terdapat segelintir pelajar dan individu sering terlupa atau terlepas pandang untuk membaca doa semasa melaksanakan sesuatu perkara. Permasalahan ini wujud mungkin disebabkan oleh sentiasa sibuk mengejar masa, kurang pengetahuan, tidak mengingati doa dan tiada sistem peringatan yang mesra pengguna. Sistem DoaSonic, iaitu satu sistem elektronik pintar yang menggunakan pengawal mikro ESP32 bersama sensor ultrasonik untuk mengesan kehadiran pengguna. Sebaik sahaja kehadiran pengguna dikesan, sistem akan memainkan audio bacaan doa berdasarkan mod yang telah dipilih oleh pengguna. Sistem ini juga dilengkapi dengan paparan OLED untuk menunjukkan nama doa yang dimainkan serta LED sebagai indikator status sistem. Tambahan pula, sistem ini boleh diprogramkan dan dikawal melalui sambungan telefon pintar, menjadikannya lebih fleksibel dan mesra pengguna. DoaSonic ini juga dibangunkan dalam bentuk Kit STEM untuk kegunaan aktiviti STEM di sekolah. Secara keseluruhannya, ini bukan sahaja memberi manfaat dalam aspek teknologi dan pendidikan, malah menyokong pembinaan sahsiah dan amalan spiritual pengguna melalui pendekatan interaktif dan moden.