TR134: VEHICLE’S REAR SEAT CHILD DETECTION DEVICE (Plug & Monitor)

MUHAMMAD ADAM FITRI BIN ABDUL AZIZ KOLEJ VOKASIONAL TEMERLOH

Projek inovasi ini memperkenalkan Vehicle’s Rear Seat Child Detection Device (VRSCDD), iaitu sebuah peranti pintar yang dibangunkan bagi menangani isu keselamatan kanak-kanak tertinggal di dalam kenderaan. Insiden seperti ini telah dilaporkan di Malaysia dan sering mengakibatkan kematian akibat strok haba. Masalah ini lazimnya berlaku apabila pemandu terlupa atau tidak menyedari bahawa masih terdapat kanak-kanak di tempat duduk belakang sebelum keluar dari kenderaan. Objektif utama inovasi ini ialah meningkatkan tahap keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan melalui sistem pengesan  dan amaran. Peranti ini menggunakan penderia kehadiran manusia (human presence sensor) untuk mengesan kehadiran kanak-kanak di tempat duduk belakang. Sewaktu enjin hidup, peranti berada dalam mod pengecasan kerana ia dilengkapi dengan bateri dalaman. Apabila pemandu mematikan enjin kereta, peranti akan berfungsi dan peranti ini akan segera berbunyi dan memaparkan amaran pada skrin dengan tulisan “AWAS !!! ANAK ANDA DI KERUSI BELAKANG !” sebelum pemandu keluar daripada kenderaan sebagai peringatan awal. Kelebihan peranti ini terletak pada reka bentuk yang ringkas, penggunaan komponen berintegrasi, pemasangan yang tidak mengubah struktur dalaman atau pendawaian kenderaan serta kos pembangunan yang rendah. Dari segi impak, inovasi ini berpotensi mengurangkan kemalangan jiwa, meminimumkan risiko kecuaian serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan kanak-kanak. Potensi pengkomersilan produk ini juga tinggi kerana kos penghasilan yang rendah serta kesesuaian penggunaannya untuk pelbagai jenis kenderaan sama ada baharu atau lama yang penting mempunyai port USB. Produk inovasi ini mudah digunakan semudah pasang dan pantau (Plug & Monitor). Produk inovasi ini juga jimat tenaga, dimana ketika suis kunci/tekan kenderaan dihidupkan, litar pengecasan bateri sahaja berfungsi. Manakala ketika suis kunci/tekan penghidup kenderaan dimatikan, litar pengesan disambungkan kepada bateri dalaman peranti untuk berfungsi tanpa mengangu beteri kenderaan. Secara keseluruhan, Vehicle’s Rear Seat Child Detection Device (VRSCDD) berupaya menjadi sumbangan bermakna kepada keselamatan pengguna kenderaan dan kesejahteraan sosial.

Kata Kunci : Keselamatan Kanak-kanak, Peranti Keselamatan, Penderia Pintar, Penjimatan Tenaga, Mudah Digunakan, Port USB, Plug & Monitor, Amaran Awal, Paparan Peringatan, Kenderaan Baharu dan Lama.