Profesor Madya Dr Mohd Ashrof Zaki Bin Yaakob Universiti Teknologi MARA
Pembangunan Nusa Hadith merupakan sebuah sistem e-penterjemah pintar yang memfokuskan secara khusus dalam menterjemah istilah-istilah kritikal dari disiplin Ulum al-Hadith ke dalam Bahasa Melayu. Kekurangan sumber rujukan terjemahan istilah akademik yang seragam, sahih dan mudah diakses sering menjadi cabaran besar dalam pengajian hadith di pelbagai peringkat pengajian termasuk Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia. Nusa Hadith dihasilkan bagi menyediakan platform digital kepada penerjemahan istilah Ulum Al-Hadith secara cepat, mudan dan tepat. Metodologi kajian menggunakan model pembangunan sistem yang memfokuskan kepada kejituan istilah dan penggunaan teknologi yang berkesan. Ia terbahagi kepada 4 fasa iaitu Fasa 1: Pengumpulan dan Pengesahan Istilah (Fokus Data), Fasa 2: Pembangunan Platform Penterjemahan (Fokus Teknologi), Fasa 3: Pengujian dan Penalaan (Fokus Kualiti) dan Fasa 4: Pelaksanaan dan Dokumentasi (Fokus Penyebaran). Projek ini inshaAllah menyumbang secara signifikan kepada pengayaan korpus Bahasa Melayu dalam bidang hadith dan mendigitalkan akses kepada ilmu-ilmu warisan Islam yang kritikal kepada seluruh umat Islam di Malaysia khususnya dan seluruh nusantara Alam Melayu secara umumnya.