AZRIL ZAIRIL BIN MOHD ZAIDI POLITEKNIK SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN
Projek COWSAFE (Cattle Online Watch Security Assistant for Farm Environment) dibangunkan sebagai satu inovasi dalam bidang pertanian pintar yang bertujuan untuk menangani kelemahan sistem pemantauan keselamatan kandang lembu secara tradisional. Kaedah pemantauan konvensional yang bergantung sepenuhnya kepada pengawasan manusia sering kali menyebabkan kelewatan dalam mengesan sebarang ancaman seperti kecurian ternakan, serangan haiwan liar, atau kejadian luar jangka yang boleh menyebabkan kerugian kepada penternak. Tambahan pula, sistem tradisional tidak menyediakan sebarang mekanisme amaran awal yang mampu memberi maklum balas segera kepada pemilik ladang apabila berlaku ancaman keselamatan. Objektif utama projek ini adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan ladang ternakan, mengurangkan kebergantungan terhadap pemantauan manual, dan mencegah kerugian ekonomi melalui pengesanan awal ancaman. Selain itu, sistem ini turut direka untuk meningkatkan kecekapan pengurusan ladang, di mana pemilik dapat memantau keadaan ternakan mereka dari mana-mana sahaja secara dalam talian. Melalui penggunaan teknologi Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI), COWSAFE membuktikan bahawa aplikasi teknologi moden dapat menyokong pembangunan industri penternakan ke arah yang lebih pintar, selamat dan efisien. Projek ini dibangunkan bagi memperkenalkan sistem pemantauan keselamatan pintar masa nyata (real-time smart monitoring system) yang dapat membantu penternak memantau keadaan kandang lembu secara automatik dan efisien menggunakan teknologi moden. Sistem COWSAFE menggabungkan komponen perkakasan seperti mikropemproses Raspberry Pi, kamera, buzzer, dan lampu yang berfungsi secara bersepadu. Projek ini menggunakan YOLOv5 iaitu model AI untuk mengesan kehadiran lembu. Apabila sistem mengesan kehadiran lembu menghampiri pagar, isyarat amaran dalam bentuk bunyi (buzzer) dan lampu berkelip (flashing lamp) turut diaktifkan bagi memberi amaran visual dan audio. Pada masa yang sama, sistem akan menghantar notifikasi menggunakan aplikasi Telegram ke telefon bimbit pemilik ladang melalui telefon pintar. Notifikasi akan menghantar gambar semasa untuk disimpan sebagai bahan bukti. Projek ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penternak kecil dan sederhana, tetapi juga berpotensi untuk digunakan oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar, syarikat insurans ternakan, serta pengusaha ladang berskala besar. Dari aspek pembangunan mampan, projek ini turut mengambil kira potensi penggunaan tenaga solar sebagai sumber kuasa alternatif, bagi membolehkan sistem beroperasi secara berterusan di kawasan yang tidak mempunyai bekalan elektrik tetap. Di samping itu, penggunaan teknologi dron untuk pemantauan kawasan ladang yang lebih luas turut dirancang sebagai penambahbaikan masa hadapan. Secara keseluruhannya, kejayaan pelaksanaan projek COWSAFE menunjukkan bahawa sistem ini berupaya menjadi satu penyelesaian inovatif, boleh diskalakan dan dipercayai dalam meningkatkan keselamatan dan pengurusan ladang ternakan di Malaysia. Dengan integrasi teknologi IoT, AI, dan sistem automasi pintar, COWSAFE membuka peluang kepada transformasi digital dalam sektor pertanian dan penternakan, sekali gus menyokong aspirasi negara ke arah pembangunan pertanian pintar (smart agriculture) yang lebih maju, cekap dan lestari.