SAMSON TINGANG SOLOMAN KOLEJ VOKASIONAL MIRI
Kajian ini membangunkan sistem keselamatan kenderaan berasaskan Internet of Things (IoT) bagi mengesan kehadiran kanak-kanak yang tertinggal dalam kenderaan serta pelbagai fungsi lain seperti pengesanan suhu, gas berbahaya, penurunan tingkap automatik, penjejakan koordinat, dan pemantauan pergerakan secara masa nyata. Berlandaskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 dan 9, inovasi ini bertujuan meningkatkan keselamatan pengguna, mengurangkan risiko kemalangan, serta menyokong teknologi hijau dan kemampanan. Masalah utama yang dikenalpasti termasuk kejadian kanak-kanak tertinggal 85dalam kenderaan yang boleh menyebabkan strok haba, keracunan gas, dan kesukaran menjejak kenderaan. Selain itu, cabaran kebolehpasaran sistem ini memerlukan pendekatan komprehensif bagi penerimaan pengguna. Kaedah kajian adalah menggunakan pendekatan kuantitatif dan kualitatif melalui soal selidik serta ujian lapangan yang dinilai oleh pakar bidang Automotif. Data soal selidik dianalisis menggunakan Model Penerimaan Teknologi (TAM) bagi memahami penerimaan pengguna, manakala kebolehgunaan sistem dinilai oleh pakar dalam bidang ini. Dapatan menunjukkan majoriti responden menyokong keberkesanan dan kebolehpasaran sistem ini, disokong oleh penilaian pakar. Namun, limitasi seperti kebergantungan kepada rangkaian internet dan penyesuaian dengan pelbagai jenis kenderaan dikenalpasti. Penambahbaikan termasuk meningkatkan ketahanan sensor dan mengoptimumkan penggunaan tenaga untuk memastikan kecekapan sistem. Secara keseluruhannya, inovasi ini berpotensi besar untuk dikomersialkan dan menyumbang kepada keselamatan automotif serta pembangunan mampan.