WAN SYARIFAH NADIA BINTI HARON FAFA POLITEKNIK SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN
ISORTAI adalah sistem pengenalpastian poskod automatik yang menggunakan teknologi Tesseract Optical Character Recognition (OCR) dan Kecerdasan Buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan proses penyusunan dan pengasingan surat di Pejabat Pos Malaysia dan syarikat kurier. Sistem ini direka untuk mengenal pasti poskod pada sampul surat secara automatik bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia serta mempercepatkan proses penghantaran surat dan bungkusan. Pada masa kini, Pejabat Pos Malaysia menggunakan sistem automatik yang hanya mampu mengasingkan surat mengikut negeri, manakala proses pengasingan mengikut daerah masih dijalankan secara manual. Selain daripada itu, sistem sedia ada tidak boleh mengesan poskod tulisan tangan. Keadaan ini sering menyebabkan kelewatan penghantaran, kesilapan penyusunan alamat, serta peningkatan beban kerja pekerja pos. Oleh itu, projek ini dijalankan bagi membangunkan satu sistem automatik yang lebih kecil, kos efektif, dan sesuai digunakan di pelbagai lokasi, termasuk pejabat pos dan pusat operasi syarikat kurier. Sistem ini berfungsi dengan mengimbas imej poskod tulisan tangan menggunakan kamera, kemudian Tesseract OCR menukar imej tersebut kepada teks digital, menganalisis serta mengesahkan nombor poskod yang dikenal pasti. Data poskod yang diperoleh kemudiannya digunakan untuk tujuan pengasingan surat secara automatik mengikut daerah. Antara komponen utama bagi sistem ini ialah kamera, mikropemproses Raspberry pi dan motor servo. Hasil pembangunan menunjukkan bahawa sistem ini mampu mengenal pasti poskod dengan tahap ketepatan yang tinggi serta mengurangkan masa pengasingan surat berbanding kaedah manual. Selain itu, penggunaan sistem ini dapat meningkatkan produktiviti pekerja, mengurangkan kesilapan manusia, dan mempertingkatkan kecekapan keseluruhan operasi penghantaran. Secara keseluruhannya, projek ini mempunyai potensi besar untuk digunakan secara meluas di Pejabat Pos Malaysia dan syarikat kurier serta sistem ini juga turut menyokong usaha ke arah pendigitalan dan automasi perkhidmatan pos dan logistik di Malaysia, selaras dengan kemajuan teknologi masa kini.