TR7: Subduction Dynamics

Rabiatul Adawiyah Binti Mohd Hasrul KOLEJ VOKASIONAL KUALA KANGSAR

Projek Subduction Dynamics dibangunkan sebagai bahan bantu mengajar untuk memperkenalkan konsep asas hubungan antara gempa bumi dan gunung berapi melalui proses subduksi. Di peringkat global, bencana alam seperti gempa bumi dan letusan gunung berapi sering memberi kesan besar terhadap kehidupan manusia. Gempa bumi Turkiye-Syria pada 2023 misalnya, meragut puluhan ribu nyawa, manakala letusan gunung berapi di Indonesia berulang kali memaksa penduduk berpindah. Selain itu, bencana juga boleh mencetuskan insiden teknologi atau natural-hazard triggered technological accidents (NATECH) seperti letupan, kebakaran, kerosakan loji pemprosesan, paip gas dan petroleum, serta pelepasan bahan toksik yang berbahaya. Hal ini membuktikan bahawa impak bencana alam bukan sahaja bersifat fizikal, malah turut melibatkan aspek ekonomi, kesihatan, dan kelestarian alam sekitar. Walau bagaimanapun, topik berkaitan gempa bumi dan gunung berapi sering dianggap abstrak serta kompleks untuk difahami, khususnya oleh kanak-kanak. Guru juga berdepan kekangan kerana kebanyakan bahan pengajaran sedia ada hanya berbentuk teks dan gambar, yang tidak cukup untuk menggambarkan proses sebenar subduksi. Situasi ini menyebabkan konsep sains bumi sukar difahami dan minat kanak-kanak terhadap topik tersebut mudah berkurangan. Sehubungan itu, projek Subduction Dynamics diwujudkan bagi membantu guru menyampaikan ilmu secara lebih konkrit dan menyeronokkan. Melalui model visual dan eksperimen mudah, kanak-kanak dapat melihat simulasi pergerakan plat tektonik, memahami kaitannya dengan gempa bumi serta letusan gunung berapi, dan seterusnya membina minat terhadap sains serta kesedaran tentang isu alam sekitar global.