GR147: Micro-Credential Teknik Mudah Dan Pantas Dalam Penyuntingan Naskhah

Anis Shahirah Binti Abdul Sukur Universiti Sains Malaysia

Kandungan micro-credential (MC) ini berasaskan kursus HBT312 Penyuntingan dan Penilaian Terjemahan yang ditawarkan pada peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Sains Malaysia (USM). Komponen Penyuntingan dikembangkan menjadi 16 subtopik dengan 4 objektif baharu. Pengubahsuaian dilakukan dengan memfokuskan kepada penyuntingan bahasa Melayu untuk mencapai audiens yang lebih meluas. Kandungan MC ini pada peringkat asas dan sesuai dengan pelbagai khalayak. Menerusi MC ini, peserta akan mempelajari strategi penyuntingan berkesan untuk meningkatkan kualiti teks secara profesional. Kursus ini sesuai untuk penulis, penterjemah, penyunting, dan sesiapa sahaja yang ingin mengasah kemahiran penyuntingan mereka. MC ini mengandungi EMPAT bahagian utama/ modul, iaitu (i) jenis dan genre bahan penerbitan (karya asli dan karya terjemahan), (ii) konsep penyuntingan, (iii)  teknik penyuntingan naskhah, dan (iv) penyuntingan naskhah berbantukan kecerdasan buatan (AI). Setelah melengkapkan MC ini, peserta akan berupaya untuk (i) menerangkan jenis serta genre bahan penerbitan (C2); (ii) menghuraikan konsep penyuntingan naskhah secara profesional (P2); (iii) mengenal pasti jenis-jenis kesalahan berdasarkan teknik penyuntingan (A2 LL1); dan (iv) menganalisis ketepatan hasil suntingan berbantukan teknologi kecerdasan buatan (AI), A3 EM2.